Wednesday, February 26, 2014

Assalamualaikum

Assalamualaikum. Atau salam sejahtera ke atas kamu. Lelaki perempuan. Muslim dan non muslim.

Diceritakan satu riwayat di mana ada seorang kafir telah menyapa Rasulullah s.a.w. dengan menyebut 'Assamualaikum' dan baginda menjawab 'Alaikum'. Di mana perkataan 'Assamualaikum' bermaksud 'celakalah ke atas kamu' dan diikuti jawapan baginda 'Alaikum' yang membawa maksud 'dan kamu juga'. Lalu Saidatina Aisyah yang menemani baginda pada waktu itu bertanya,

"Tidakkah kamu dengar apa yang dia katakan tadi wahai Rasulullah? Dia mencelakakan ke atas kamu." Saidatina Aisyah langsung mengembalikan ucapan kecelakaan itu kepada lelaki kafir tadi.

"Ya, aku mendengarnya. Tetapi bukankah Islam menganjurkan kita untuk bercakap dengan bahasa yang lebih lunak?"



"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut nama Allah."

Al-Ahzab : 21




Kerana mulut badan binasa. Hakikat zaman teknologi yang sukar dibendung. Lebih canggih, bukan sahaja meniti di bibir malah sudah bijak bermain-main kata melalui hujung jari jemari juga. Hebatnya manusia. Sanggup mempertaruhkan pertalian persaudaraan semata-mata kerana ego.

Mengapa manusia sukar memaafkan? Bukankah memafkan itu lebih baik ganjarannya? Ah, mana mungkin aku mampu membaca hati manusia yang berbolak-balik. Ditambah lagi dengan nafsu yang tiada penghujungnya. Cacian makian yang sentiasa bermain di hujung lidah bagaikan sudah sebati dalam hati. Lalu bagaimana pula lidah yang sama mahu mengingati Illahi?

Terkocoh-kocoh manusia memburukkan yang lain, tanpa mempedulikan hati terluka. Madah berbisa, seribu tahun belum tentu dapat memulihkan rabaknya jiwa. Sampai bila, harus kita mengharungi ini semua? Tanpa sedar kita menambah dosa yang sedia ada. Tentunya peringatan untuk aku juga.

Lupakah kita pada pesan Rasulullah s.a.w.? Lupakah kita pada anjuran Islam? Lupakah kita apa makna Muslim yang sebenar? Usah menjadikan alasan 'Allah knows what in every heart' untuk menyemburkan kata-kata nista. Habluminallah wa habluminannas. Jagalah hubungan baik dengan Allah dan juga sesama manusia.



Dari Anas bin Malik r.a. : Rasulullah s.a.w. bersabda, "Belum sempurna iman seseorang kamu sebelum ia mecintaiku melebihi daripada cintanya kepada anaknya, kepada bapanya dan kepada manusia semuanya.



Dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a. : Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w., "Orang Islam bagaimanakah yang paling baik?" Jawab baginda, "Ialah orang-orang yang menjaga orang-orang Islam lainnya dari bencana lidah dan perbuatannya."