Kalau nak jadi penulis, kena banyak membaca dari menulis. Pelbagai genre yang boleh dipilih. Fiksyen, fakta, sains, bahasa dan banyak lagi. Dan aku perlu menyelam dan bukan setakat berenang untuk mendalami lagi kosa kata yang ada.
Ada orang membaca buku kisah peperangan. Ada orang baca buku falsafah. Ada orang hanya baca majalah yang berlonggok dekat rumah. Pada aku, tak kisah apa saja bahan bacaan, tapi keutamaan itu perlu ada, hampir pada kesemua aspek kehidupan. Membaca kehidupan juga salah satu 'genre' yang ramai sering terlupa ataupun kurang disedari. Itulah pengalaman.
Teringat satu kuliah apabila ada seorang ustaz ni menimbulkan persoalan,
"Apa siginificantnya Allah menurunkan Surah Al-Alaq sebagai wahyu pertama sedangkan Nabi Muhammad umumnya tidak tahu membaca dan menulis?"
Jujur, aku terkesima. Benar, seolah kita memberikan radio kepada si pekak atau cermin mata kepada si buta. Mana mungkin dimanfaatkannya. Sambungnya lagi,
"Kerana Allah mengilhamkan kepada baginda untuk membaca realiti kehidupan masyarakat Mekah. Kekuatan dan kelemahan yang perlu dikaji supaya dakwah dapat disebarkan."
Imam Ibn Qayyim Al Jauziah berkata dalam kitab I'lamul Muwaqi'in, syarat bagi seorang alim mujtahid ada dua; pertama menguasai bidang ilmu dan kedua, hidup di alam realiti bersama masyarakat.
"Seorang mukmin yang bergaul di tengah masyarakat dan bersabar terhadap gangguan mereka, itu lebih baik daripada seorang mukmin yang tidak bergaul di tengah masyarakat dan tidak bersabar dengan gangguan mereka." (At-Tirmidzi)
Lain padang, lain belalang. Lain orang, lain juga gaya pembacaannya, laras bahasanya. Jangan sempitkan pembacan di atas aksara yang terzahir sahaja, tapi depangkan di dada kehidupan. Moga Allah menyuluh jalan sepanjang perjuangan. Ilmu tanpa amal ibarat pohon tidak berbuah. Ilmu itu bukan kefahaman, tetapi kefahaman memerlukan ilmu. Justeru, bacalah dengan nama Tuhanmu yang Menciptakan. :)
No comments:
Post a Comment